( Inilah surat dari papa Dina untuk Dina yang bertarikh 29.09.2009 . Surat yang merupakan luahan hati papa khusus untuk Dina. )
Puteriku yang tersayang Dina Haney....
Alhamdulillah,setelah sekian lama Papa dan Mama menantikan kehadiranmu ke dunia dengan penuh harapan agar dapat meneruskan keturunan kami,akhirnya impian itu tercapai jua. Puji-pujian untuk Allah kerana doa Papa dan Mama tersahut jua dan diperkenankan-Nya.
Puteriku...
Ingin papa kongsikan bersamamu cita-cita Papa apabila Dina dewasa kelak. Sebelum itu,ingin Papa luahkan rasa takjub Papa pada Mama Dina sebab apa yang Mama mohon semuanya diperkenankan. Yang ketaranya ada tiga perkara.
Pertama,sebelum kelahiranmu,Papa ingin punya baby lelaki dan mama pula mengimpikan baby girl. Lahirnya Dina...baby girl.
Kemudian Mama menginginkan baby girl kami nanti mengikuti paras rupa Papa. Maka itulah jua yang diperkenankan. Semua orang kata wajah Dina memang seiras Papa.
Dan yang ketiganya,Mama kata dia mahu melahirkan Dina secara pembedahan 'caesarian'. Akhirnya kesemua yang Mama Dina inginkan itu telah diperkenankan.
Dina lahir ke dunia ini dengan wajah yang benar seiras dengan Papa. Itulah kebanggaan Papa. Melihat Dina,sama sekali teringat Papa ketika masih kecil dulu,memang wajah Dina saling tak tumpah wajah Papa. Apa yang mencuit hati Papa ialah bilamana Mama berkata yang Mama dah merajuk dengan Dina sebab wajah dan ciri-ciri Dina terus tak ikut Mama. Tergelak kekadang bila Papa mengingatinya.
Sayang....
Seperti ibu bapa yang lain,Papa dan Mama mempunyai cita-cita yang besar terhadapmu. Tiada apa yang lebih membahagiakan Papa dan Mama selain melihat Dina berjaya di hari muka dan menjadi anak yag solehah. Adalah amanat dari Allah agar Papa dan Mama mendidik dan mengasuhmu menjadi anak yang baik. Kasih sayang kami pada Dina tidak pernah berbelah bagi.
Melihat perkembanganmu dari kejauhan ini,seringkali menjadikan Papa bangga punya anak sebaik dan sebijakmu. Maafkan Papa kerana tidak dapat berada di sisimu selalu saat Dina mula bertatih sehingga ke detik ini. Apakan daya keadaan memaksa untuk kita melalui detik-detik yang sebegini. Namun percayalah,kasih sayang dan cinta papa terlalu utuh buatmu dan Mama. Tanpa kalian berdua,Papa tak punya apa-apa dalam dunia ini. Kalian adalah nyawa Papa bagi meneruskan hidup yang penuh onak dan duri ini.
Hana Irdina Hany....
Kelahiranmu adalah lambang cinta antara Papa dan Mama. Dina adalah sumber inspirasi dan membuatkan hidup kami lebih bermakna lagi.Dina adalah penyeri rumahtangga Papa dan Mama. Benar,Dina belum memahami apa-apa saat ini,namun warkah ini,selain dari luahan hati Papa,juga adalah untuk tatapan Dina apabila Dina dewasa dan mula mengenali dunia. Pada waktu itu,kalau Papa dan Mama masih bernafas,hargailah Papa dan Mama dan jangan lupakan pengorbanan kami untukmu,terutamanya Mama yang telah sanggup bertarung nyawa untuk melahirkanmu demi merealisasikan impian kami mempunyai keluarga yang sempurna. Syurgamu terletak di telapak kaki Mama. Jadilah anak yang baik dan solehah sayang...
Lots of loves.
Papa,29/09/2009